Assalamualaikum,
Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua bekas penduduk kampung kesayangan kita di kawasan Kampong Glam, lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah turut serta dalam majlis perjumpaan Hari Raya yang telah kami anjurkan pada tahun 2016 dan yang kedua kalinya pada tahun 2019.
Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli jawatankuasa yang turut menjayakan majlis tersebut. Tanpa kerjasama di antara kita semua, tidak mungkin acara-acara tersebut berjalan lancar. Alhamdulillah.
Saya percaya anda semua dan termasuk diri saya, kami sangat-sangat menyayangi kampung-kampung kita. Kalau diberi peluang, pasti kita semua tidak akan keberatan untuk menjadi penghuni tetap kampung kesayangan kita walaupun adakalanya bunbumg bocor bila hujan lebat.
Sangking sayangnya saya dengan kampung kita ini, saya tidak rela membiarkannya dilupakan begitu sahaja demi ibu-bapa dan datok-nenek kita yang telah lama menginap di deretan-deretan rumah di kawasan itu bertahun-tahun sebelum kelahiran kita semua.
Untuk menghidupkan dan melastarikan kampung kita ini walaupun kita sudah berpindah ke merata tempat, saya tekad untuk mewujudkan lelaman sesawang ini di mana ia-nya dapat digunakan untuk menyatukan kita semua walaupun kita tinggal berjauhan antara satu sama lain. InshaaAllah, lelaman ini dapat merapatkan lagi silaturrahim di-antara kita semua dengan acara-acara dalam talian dan sebagainya, dan mudah-mudahan dapat menimbulkan minat di dalam diri generasi-generasi muda untuk mengetahui sejarah dan cerita-cerita masa lampau dan kemesraan yang terjalin di antara kita semua. Ayuh! Sila memberi sumbangan anda di halaman blog di lelaman ini.
Secara peribadi, saya bangga dengan hubungan baik dan mesra di antara kita semua dari dahulu sehingga ke hari ini. Saya berharap dengan tertubuhnya lelaman ini kita akan menjandi lebih rapat dan akrab. Kalau di-izinkan, ingin saya membuat sesuatu di mana kita semua dapat berpadu tenaga mewujudkan sesuatu di mana kita berpeluang bertemu dan beramah-mesra dengan lebih kerap lagi. Sama-sama kita fikirkan apa sahaja yang mendatangkan kebaikan untuk kumpulan kita ini.
Rosman Sahlan
Pengerusi


gambar dipetik oleh Frank Ossen, Aug.1989


Kampung Kita
Orang kampung yang kerap di sebutkan dalam lelaman ini terdiri daripada penduduk-penduduk yang pernah tinggal di kawasan Kampung Glam. Kawasan ini termasuk Pahang Street, Baghdad Street, Bussorah Street, Kandahar Street dan Sultan Gate. Daerah jalan-jalan yang disebutkan itu lebih di senangi dengan panggilan Kampung Dalam (Pahang St), Kampung Intan (Baghdad St), Kampung Khaji (Bussorah St berdekatan Masjid Sultan), Kampung Tembaga (Bussorah St berdekatan Beach Road) dan Pondok Jawa oleh orang kampung. Nama mesra bagi kampung-kampung ini adalah "kampung kita" bagi penduduk-peduduk di situ.
Sehingga ke hari ini, bekas penduduk-penduduk kampung dengan selambanya akan menyampuk “itu kampung kita” jika ada sesiapa yang membuka cerita mengenai kawasan tersebut. Lebih menggelikan hati ialah apabila mereka akan berkata, kepada sesiapa sahaja yang sanggup mendengar, bahawa Masjid Sultan yang bersejarah di kawasan itu adalah "masjid kita". Ibarat kata, semua di kawasan situ kita punya!
Menguatkan silaturrahim orang kampung dan merapatkan jurang generasi. Memupuk advokat untuk menegakkan nila-nilai nenek-moyang kita.
Ketengahkan inisiatif bagi mengikhrabkan lagi orang-orang kampung serta mananamkan nilai-nilai mulia nenek-moyang kami. Menyediakan podium untuk generasi muda mempelajari dan menjadi penyokong dalam mengukuhkan keaslian makanan unik nenek-moyang kita.

Keluarga Hj Abdul Karim - Menyambut Hari Raya terakhir di kampung kita - 1992
Dengan bangganya kami mengetengahkan usahawan-usahawan dari keturunan nenek moyang kita di halaman ini. Perniagaan mereka merangkumi pelbagai industri dan kami percaya ia akan memudahkan orang kampung kita mendapatkan produk dan perkhidmatan dari variasi yang tersedia. Alhamdulillah, usahawan-usahawan kita telah mencapai kejayaan dengan kerja keras mereka, dan sama-samalah kita memberi sokongan kepada mereka.