Blog

Teman bermain, “merayap” dan “berperang” kampungku


Hanim Mohd Saleh

27 Bussorah Street

May 23, 2020

Apabila “chip” atau penghulu kampung Rosman Sahlan meminta saya menulis tentang kehidupan di Bussorah Street untuk blog ini, terfikir juga…. Apa yang patut saya kongsikan kerana kalau bercakap tentang kampung kesayangan kita, bermacam cerita boleh diketengahkan - daripada soal makanan, bahasa, suasana Ramadan, tali persaudaran, hidup berjiran, budaya dan bermacam lagi. Pokoknya kalau nak dijadikan buku tentang kehidupan penduduk Bussorah Street, boleh , , sampai berjilid-jilid.

Tetapi untuk yang pertama ini, rasanya biarlah saya sentuh apa yang paling dekat dengan jiwa saya dan paling mudah saya ingati - ia itu tentang kawan-kawan sepermainan saya.

Saya lahir pada 1965 dan tentunya kawan-kawan rapat saya di kampung terdiri daripada mereka yang sebaya atau sikit lebih kurang usianya. Antara yang paling rapat ialah Azian Ismail (Yan) , Zaini Tahir, Zanita Zazulin (Nita), Sabariah Samsudin (Bayah), adiknya Norhayati, Fuad (anak bongsu Cik Mona Padang) Ah Ling (anak Gemuk, tauke kedai runci), Fathi Fadhil atau Fat, (padahal abangnya Faiz yang sebaya saya, tetapi Faiz pendiam, Fat yang kecoh sikit). Gang ini boleh disifatkan teman main masak-masak, main sembunyi-sembunyi, main teng teng dan teman merayap satu kampung selepas balik ngaji dari rumah Wak Dargo. Tetapi kalau dipanjangkan sikit rangkaian kawan itu, terutama bila ada game lebih besar seperti “police and thief” atau jelon, kawan sebaya lain ikut serta ialah Samsiah Abdullah, Aziah Baki dan adik-adiknya, Rahim Arshad (Aim) dan adik-adiknya, Rani Zain, Ali dan Ahmad Baki, Mahathir (Mater), Jabbar (Mohamad Jahubar). Ramai lagi sebenarnya, kalau nak disebutkan semua… tak habis cerita. Dan mentor saya yang perlu disebutkan di sini ialah Halimah Abdul Karim (Imah), yang bagi saya paling “terror” bermain yeh-yeh dan selalu menang dalam apa pun permainan. Sebab itu semasa nak ke sekolah menengah, saya pilih untuk masuk Sekolah Tun Seri Lanang, semata-mata kerana saya mahu satu sekolah dengan Imah. Padahal kakak dan sepupu saya yang serumah, hampir semuanya sekolah menengah di Monk’s Hill. Imah masuk NCC, saya pun masuk NCC.

Dalam berkawan dulu, memang tak timbul rasa siapa lebih hebat berbanding siapa, tak timbul soal politik atau membeza-bezakan taraf kehidupan dan pencapaian antara satu dengan lain. Rasanya kita semua sama saja. Sebab itu , setiap kali ada peluang, saya seronok ikut Bayah dan Yati berjualan goreng pisang panas ke merata kampung, sampai masuk ke kawasan Istana dan Kelab Kota Raja tanpa memikirkan apa-apa. Mungkin juga sifat “berjualan” sudah sebati dengan penduduk kampung

kita dan menjadi sebahagian tradisi kita - kerana rasanya, hampir setiap rumah pasti ada “menjual sesuatu” biarpun untuk jumlah yang sedikit. Di rumah saya sendiri di 27 Bussorah Street arwah, mak saya (Nahar Yusofe atau manja dengan panggilan Cik Anom) menjual air batu Malaysia sementara ibu saudara saya, Cik Yuhanis Yusufe (Cik Anid) berjualan lontong setiap pagi.

Cakap pasal bermain dengan geng sebaya, saya nak kongsikan beberapa kisah yang mungkin sebahagian kawan-kawan ingat.

Pertama, tentang bertapa “adventurous” nya kita meneroka kawasan di luar kampung. Yelah, budak-budak mana tahu duduk diam… ada saja yang nak dicuba dan diteroka biarpun terpaksa dilakukan secara diam-diam tanpa beritahu mak bapak atau kakak dan abang-abang kita.

Tahu tak, saya dan geng rapat pernah berjalan kaki, dari Kampong Khaji ke Yoahan (Plaza Singapura), sekadar suka-suka. Padahal, dalam kocek tak ada duit pun untuk membeli apa-apa. Kemudian, di waktu lain, kami teroka pula kawasan Beach Road berdekatan dengan Golden Miles Complex. Mula-mula berjalan ke sana, untuk menangkap ikan guppy di longkang berdekatan bangunan itu. Tetapi jalan punya jalan,akhirnya sampai ke kawasan kolam (depan Nicoll Highway, yang ketika itu belum ditambak penuh). Melihat air kolam yang tenang, biarpun berwarna teh susu, kami terus terjun dan berenang dengan baju yang dipakai. Seronok bermain sampai tak ingat masa. Keseronokan terhenti apabila kakak saya dan kawan-kawan sebayanya tiba-tiba muncul di depan mata - rupa-rupanya mereka mencari kami sekeliling kampung kerana kami “main sampai tak ingat nak balik!” Bila pulang ke rumah, apa lagi…. kena ‘lecture” lah dengan arwah mak.. dan itu lah kali pertama (dan satu-satu kalinya) saya kena rotan (pukul sikit saja, pukul sayang).

Dalam bermain, saya kira ramai yang setuju bahawa kita “play hard” dan bersungguh-sungguh mencari keseronokan bermain. Sedang golongan abang-abang (termasuk geng abang ipar saya, Rahman Saad) dan budak-budak lelaki suka main bolasepak di tengah jalan depan rumah, saya dan kawan-kawan lain selain jelon dan police and thief, suka main “perang-perang”. Ingat tak betapa kreatifnya kita menghasilkan senapang kayu buatan sendiri. Kayunya diambil daripada kedai kain milik keluarga Jahubar, kemudian dipasang, dipaku dan diletakkan getah untuk menjadikan senapang. Pelurunya? Buah ceri hijau yang dikutip dari jalan raya di Beach Road dekat Pasar Besi. Dipendekkan cerita, dalam satu adegan ‘peperangan” berlaku insiden yang tidak dapat saya lupakan - apabila peluru ceri ditembak tepat ke mata saya ketika saya mengintai dari celah lobang tintang (tingkap), ditembak oleh jiran sebelah (you know who you are, hahaha). Aduhai.. melalak kuat saya dibuatnya… nasib baik mata okay, tak jadi Kassim Selamat!

Banyak lagi kisah yang menjadi kenangan. Alhamdulillah, biarpun teman-teman sepermainan dulu masing-masing sudah membawa haluan sendiri, sekali sekala kami dapat bertemu, kadang kala untuk bertugas. Zaini Tahir misalnya, sebagai pensyarah seni di sebuah politeknik, pernah beberapa kali berurusan dengan saya sebagai wakil media untuk pementasan beliau. Begitu juga dengan Azian, yang kini aktif dalam kerja-kerja belakang tabir produksi televisyen. Bangga melihat kawan-kawan terus aktif dengan minat masing-masing. Yang tak pernah saya ketemu selepas berpindah keluar daripada Bussorah Street ialah Ah Ling (apa cerita keluarga kedai Gemuk ya?) dan Zanita Zazulin. Moga Nita dalam keadaan sihat sejahtera.

Yang lain, alhamdulillah kita masih berhubungan menerusi Facebook . Jarang bertemu, tetapi tetap gembira dapat ikuti perkembangan masing-masing yang kini sudah mempunyai anak-anak besar panjang, bahkan ramai yang dah bergelar datuk dan nenek. Walaupun sudah berusia, bila berhubungan dengan kawan sebaya.. perasan zaman “budak-budak” dulu tetap terasa.